5 Langkah Jika Si Kecil Sering Menangis dan Mengamuk



Temper Tantrum, itulah istilah yang sering digunakan untuk menggambarkan tingkah laku si kecil yang menangis dan berteriak di tempat awam kerana tidak mendapat apa yang diingininya. Perbuatan ini disusuli dengan menendang atau memukul si ayah atau ibu sambil menangis teresak-esak. Ia dilakukan secara berturutan mulai dari 30 saat pertama hingga dua minit terakhir. Temper Tantrum ini biasanya terjadi kepada anak-anak yang berusia satu hingga tiga tahun. Tingkah laku anak-anak ada pelbagai, ada anak2 yang sering melakukan Temper Tantrum, dan ada juga yang tidak. Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui jika anda ingin menangani masalah ini.

Menganggapnya Sebagai Perkara Biasa

PERLU diketahui bahawa anak yang berkelakuan baik sekalipun pernah melakukan temper tantrum kerana perbuatan tersebut adalah sebahagian dari perkembangan seorang kanak-kanak yang tidak seharusnya dipandang negatif. Ditambah pula anak yang belum pandai untuk mengawal emosi mereka seperti orang dewasa. Jadi fahamilah bahawa ini adalah perkara yang biasa tetapi anda harus berusaha untuk mengendalikan situasi ini agar tidak keterlaluan.

Ketahui Penyebabnya

LANGKAH selanjutnya ialah mengenalpasti mengapa si kecil bersikap demikian. Dengan mengetahui penyebabnya anda akan tahu apa yang harus dilakukan. Pada dasarnya ada beberapa sebab mengapa si kecil bersikap demikian. Pada anak-anak yang berusia kurang satu tahun perkara ini biasanya terjadi kerana mereka merasa tidak selesa, lapar dan takut. Sementara apabila terjadi pada kanak-kanak yang berusia dua tahun hingga tiga tahun bermakna mereka tidak mendapat apa yang mereka hajati atau melakukan sesuatu yang ingin mereka lakukan. Misalnya, mereka gagal menyelesaikan mainan puzzle atau kerana anda menyuruhnya tidur sedangkan dia masih mahu bermain lagi. Akibatnya dia meresa kecewa dan menangis lalu berteriak. Pastinya ini akan membuatkan anda naik darah dan hilang sabar dengan kerenah si kecil.

Anak kecil melakukan temper tantrum ini untuk menguji kasih sayang anda kerana usia antara dua hingga empat tahun mereka biasanya ingin bebas tetapi pada masa yang sama mereka masih memerlukan orang tua mereka. Keadaan inilah yang akan menjadi kecoh antara anda dan anak anda. Apabila anda menyuruh si kecil memakai kasut comelnya ketika bermain tetapi dia enggan berbuat demikian lalu satu-satunya cara untuk menunjukkan kekesalan adalah dengan membuang dirinya ke lantai dan menangis keras sambil menendang -nendang kerana tidak mampu membantah secara verbal.

Jangan Terlalu Menurut Kemahuannya

JIKA si kecil melakukan itu semua kerana ingin mendapatkan sesuatu jangan sesekali menurut kehendaknya semata-mata ingin dia berhenti menangis. Ini kerana jika anda menurut kemahuannya maka itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan apa yang dihajatinya pada masa lain. Akibatnya si kecil akan semakin menjadi-jadi. Di sini ada beberapa langkah yang berkesan untuk menangani tingkah si kecil.

..Tetap Tenang

Bertenanglah ketika menghadapi tingkah anak anda. Berteriak memarahinya atau memukulnya tidak akan menyelesaikan masalah. Apabila keadaannya tenang sedikit peluklah tubuhnya dan sapulah wajahnya agar kemarahannya reda. Jika anak kecil membuat hal di tempat orang ramai, cubalah bawanya ke tempat lain agar tidak menggangu orang lain.

..Jangan Memberikan Perhatian

Anak-anak yang temper tantrum selalunya melakukan hal itu untuk menarik perhatian. Jika anda tidak memberikan perhatian seperti yang anak anda inginkan maka dia akan berhenti dari melakukan perbuatannya itu. Tetapi bila ragamnya itu membahayakan dirinya atau orang lain, segeralah bertindak.

..Mengurung Anak Dalam Bilik

Ketika si kecil melakukan aksi temper tantrum, suruhlah dia masuk ke dalam biliknya. Langkah tersebut akan membantu mendinginkan hatinya. Selain itu, mereka juga akan tahu bahawa perbuatan mereka itu tidak baik.

..Tinggalkan Dia Sejenak

Cara ini memerlukan anda supaya lebih berhati-hati sekiranya berlaku di khalayak ramai. Tapi pastikan cara ini tidak akan membuatkannya terasa diabaikan dan berfikir yang anda tidak sayang kepadanya.

..Alihkan Perhatiannya

Cubalah alihkan perhatian si kecil dengan perkara lain yang akan membuatkannya berhenti menangis. Misalnya memberi mereka minum atau mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan.
Petikan dari Perempuan Jan'06

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...