~Happy Father's Day~


Hari Bapa disambut pada 21 Jun 2009.....tapi abah dah lama tak ada untuk aku berikan ucapan....dan sepanjang hidupnya rasanya aku tak pernah merayakan sambutan itu.....mungkin aku masih kuno ngan budaya2 sebegini......bagi aku menghargai abah adalah dengan membuat dia gembira.....

Abah meninggalkan aku dan keluarga pada usianya 56 tahun dan pada waktu itu aku masih belum dapat membalas semua jasa-jasanya......

Abah seorang ayah yang sangat penyayang walaupun di dalam ketegasannya......mungkin budaya hidup kami membuatkan abah tidak suka menonjolkan kasih sayangnya pada anak-anak....tapi menjelang usiaku yang makin meningkat, aku semakin sedar tindak-tanduk abah dahulu mencerminkan kasihnya pada anak-anak...

Anak-anak abah semuanya nakal-nakal.....tak kurang yang degil-degil...hehe.....tak terkecuali ler aku.....semasa bersekolah tidak pernah aku memberikan abah kegembiraan selain banyak mengecewakan abah.....maklum ler....jiwa muda suka main-main......sebagai salah seorang anak perempuannya, aku merasa bertuah kerana abah tidak pernah sekali menengking anak-anak perempuannya apa lagi angkat tangan pada kami.....kalau dia marah aku tahu bila melihat dia berdiam diri......selalunya dia lebih suka meluahkan rasa tak puas hati atau amarahnya pada mak dengan harapan mak yang akan menegur kami.....berbanding dengan anak-anak lelaki abah, abah lebih tegas.....garang pun memang.....

Sekarang, bila aku imbas kembali.....aku sedar segala tindak tanduk abah.....aku dapat menilai sekarang kasih sayangnya yang tak pernah aku sedari dahulu.....aku masih ingat bagaimana abah mengusung kami adik beradik mengharung pesta banjir dan singgah di pasar membeli baju sejuk, aku ingat lagi waktu dia berikan aku kereta untuk ke tempat kerja kerana hujan sedangkan dia bermotosikal ke sekolah, aku masih ingat dia berkorban menghantar aku menaiki motor menghadiri temuduga, aku masih ingat pertama kali melihat abah gembira semasa dia menatap keputusan peperiksaan aku di ipt selepas menentang keras pilihan aku untuk ke ipt waktu itu, aku masih ingat abah mengirimkan vcd majlis persaraan beliau di sekolah untuk dikongsi dengan aku, dan x sampai 6 bulan selepas persaraannya, dia pergi meninggalkan kami......sekarang semuanya berlegar-legar di kepala...

Aaahh....sedihnya.....lebih sedih sbb tak dapat berada di sisi abah saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.........sesungguhnya Allah lebih sayangkan abah.....hanya Al Fatihah ku kirimkan buat abah di alam sana.....doa ku moga arwah dilapangkan kuburnya, dijauhkan dari siksa api negara dan semoga ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.....AMIN.....



Ok ler....berbalik kepada cerita tentang hari bapa ni......ada satu artikel yang aku petik dari laman web http://www.islam.gov.my/ berkenaan perkara ini.....meh baca dan sama2 menghayatinya....


PERANAN BAPA SEMAKIN MENCABAR
Oleh: Lokman bin Ismail

Masyarakat menghargai pengorbanan ibu. Hari Ibu disambut meriah setiap
tahun. Bermacam-macam program diadakan sempena Hari Ibu. Tetapi
pengorbanan bapa seperti dilupakan. Ramai tidak menyedari wujudnya
sambutan Hari Bapa. Tidak ada pihak mengadakan program meraikan Hari
Bapa. Tidak ada tokoh Bapa Mithali atau Bapa Soleh seperti dianugerahkan
kepada ibu sempena Hari Ibu.

Persoalan ini ditimbulkan bukan atas rasa irihati kaum bapa terhadap
kaum ibu. Tujuannya lebih menumpukan untuk melahirkan rasa kesedaran
kaum bapa terhadap tanggungjawab yang terpaksa ditanggung kerana manusia
mudah lupa jika tidak diulang sebut tentang tanggungjawab mereka. Manusia
kurang motivasi jika apa yang dilakukan tidak dihargai. Wajar benar sambutan
hari Bapa turut dimeriahkan seperti sambutan Hari Ibu.
Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada
kepimpinan bapa. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga
keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan
mempertahankan maruah. Justeru, bapa perlu banyak berkorban demi
melaksanakannya.

Sesungguhnya dalam hal ini bapa menanggung amanah yang besar.
Maka dalam melaksanakan tugas tersebut memerlukan keikhlasan, kesediaan,
kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan
ketakwaan kepada Allah SWT.

Semua aspek ini mempunyai pendekatan berbeza yang wajar dilakukan
oleh setiap bapa dengan perasaan yakin dan tenang. Setiap aspek memerlukan
kemahiran dan kemampuan khusus yang perlu dikuasai oleh kaum bapa.
Kemahiran kebapaan bukan lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa.
Semuanya memerlukan usaha ke arah itu. Seorang bapa dapat mendalami ilmu
kebapaan dengan menghadiri kursus, berkongsi pengalaman, pembacaan dan
penghayatan terhadap tugas.

Tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat
tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan belum sempurna
tugas tersebut biarpun telah berjaya memberi kemewahan material kepada
anak-anak. Keperluan bapa melaksanakan tanggungjawab adalah meliputi
keperluan fizikal dan rohani. Kedua-dua keperluan itu sama penting.
Bapa tidak patut menganggap tugas yang dilakukan sebagai satu beban.
Perasaan teras terbeban dengan tanggungjawab akan menghilangkan rasa
ikhlas. Ini menjadikan keadaan lebih kusut dan bercelaru. Tanggungjawab
kebapaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah
satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan
ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak
sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk
keluarga adalah sedekah
. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa
mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Rasulullah
SAW menjelaskan aspek pergaulan dan kasih sayang adalah intipati kebahagiaan
sesebuah keluarga. Oleh itu Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bapa
sentiasa melakukan yang terbaik untuk keluarganya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli
keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan
dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak-anak
mereka. Mereka menganggap perkara tersebut tidak penting dalam
membina kebahagiaan keluarga. Ada sebilangannya yang lebih suka
menunjukkan sikap bengis sebagai cara mendidik anak. Dengan itu anak tidak
berpeluang ‘duduk rapat’ dengan bapa. Cara ini mengikut mereka lebih
berkesan agar anak-anak mudah mendengar kata dan tidak berani melakukan
perbuatan yang ditegah.

Namun begitu cara sedemikian mungkin berkesan ketika mana anak-anak
masih kecil tetapi hakikatnya kepatuhan anak kepada setiap larangan bukanlah
atas kesedaran atau kefahamannya mengapa sesuatu itu perlu dilakukan atau
dijauhi. Sebaliknya, anak tersebut tidak melakukan perbuatan dilarang hanya
disebabkan takut kepada hukuman.

Sebenarnya, bapa wajar sentiasa mengambil pendekatan terbaik untuk
membentuk hubungan mesra dan ceria dengan anak-anak. Ajarkan kepada anak
apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Beritahu mereka mengapa begitu dan
begini terjadi. Malah, bapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik.
Di waktu itulah juga masa yang sesuai dijelaskan kaitan larangan dengan
kehendak agama dan undang-undang kerana semua yang betul dan salah
mempunyai alasan yang perlu diperjelaskan kepada anak. Jika ada perkara yang
belum mampu mereka fahami, beritahu mereka “apabila dewasa nanti baru
faham. Sekarang ini cukuplah tahu kena buat, jangan buat, boleh dan tidak
boleh buat”.

Amat penting bagi bapa agar sentiasa berpegang bahawa konsep
mendidik anak hendaklah berterusan. Bapa adalah contoh ikutan untuk
membentuk peribadi anak. Oleh itu anak memerlukan masa bersama-sama bapa
untuk memerhati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh bapanya. Bapa
adalah guru yang paling berkesan. Anak mudah ‘percaya’ apa yang diberitahu
oleh bapanya.

Hal ini amat penting dalam soal akidah dan keimanan kerana bapa yang
mencorakkan akidah anak mengikut apa yang diajarkan dan anak ‘sedia’
menerima apa yang diberikan kepada mereka. Sekiranya bapa tidak
menjalankan tanggungjawab tersebut akan ada pihak lain akan mengambil alih.
Oleh itu amat penting bagi seseorang bapa memastikan apa yang sepatutnya
diterima oleh anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam
keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu
menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)
Pengaruh negatif persekitaran dan rakan sebaya contohnya boleh
menyebabkan anak-anak hilang pedoman jika tidak dibimbing. Anak yang
bermasalah dan terlibat dengan gejala yang tidak baik kebanyakannya adalah
berpunca dari kurangnya perhatian daripada bapa.

Hadith riwayat at-Tirmizi bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang
lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti
yang baik.”

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri
kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah
manusia dan batu (berhala),” (at-Tahrim: 6)

Bapa mithali akan sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa
bersama-sama dengan anak dan ahli keluarga. Bahkan anak menjadi inspirasi
kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa
mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang
apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri.
Sebaliknya, bapa yang tidak bertanggungjawab akan menganggap anak
dan isteri sebagai beban dan menambahkan tekanan jiwa. Akhirnya mereka
menjadi mangsa melepas geram akibat tekanan perasaan yang sebenarnya
berpunca daripada masalah lain. Keadaan ini memburukkan lagi interaksi dan
kasih sayang dalam keluarga sehingga kehidupan menjadi lebih tertekan.
Sebab itulah, bapa bermasalah lebih suka berada di luar rumah bersamasama
rakan. Mereka lebih mengutamakan kawan-kawan daripada apa yang
diperlukan oleh anak-anak dan isteri. Tindakan ini sebenarnya tidak akan
menyelesaikan masalah.

Ramai juga para bapa yang sentiasa menghabiskan masa di luar rumah
akan mudah terlibat dalam aktiviti kurang baik. Akibatnya tanggungjawab
terhadap keluarga semakin diabaikan.

Oleh itu para bapa janganlah mengambil mudah kasih sayang dan
perhatian yang diperlukan oleh anak. Para bapa tidak boleh beranggapan
bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh ibu.

Diriwayatkan oleh Bukhari satu kisah bahawa pada satu hari semasa
Rasulullah mencium cucunya, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi
lalu beliau mengatakan: “Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi tidak seorang
pun daripada mereka pernah aku cium.” Rasulullah SAW lalu menjawab: “Apa
dayaku apabila Allah telah mencabut kasih sayang daripada hatimu”.
Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa
terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa
mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat
berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW
sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi
baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan
memimpinnya ke tempat duduk.

Sesungguhnya kasih sayang berterusan seorang bapa terhadap anak
biarpun yang sudah berkahwin bukanlah mengganggu urusan hidup anak,
kerana ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat.
Kesimpulannya, anak-anak akan lebih menghormati dan kagum kepada
bapa yang sedia memahami dan menghormati keperluan mereka. Anak tidak
akan mensia-siakan pengorbanan bapa yang menjalankan tanggungjawab yang
terbaik.

Kesimpulannya:
1. Berapa rapat anda dengan anak-anak anda?
2. Berapa kali anak-anak anda duduk di sisi anda dan menceritakan tentang perjalanan sehariannya di sekolah misalnya?
3. Bolehkah anda bergelak ketawa dengan anak-anak anda?
4. Bagaimana persepsi anak-anak terhadap anda sebagai bapa?
5. Bagaimana anda memenangi hati anak-anak anda? Dengan wang ringgit atau kasih sayang anda?

Sekiranya anda dengan tenang dapat menjawab persoalan ini dengan positif, maka anda sememangnya bapa yang cemerlang......

1 comment:

Mama Nazhan said...

kak nina, kena print ni suruh husband saya baca. hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...